Tuesday, September 1, 2009

Rencana dari KOSMO

RENCANA UTAMA

Memutihkan nama Rentap
Sehingga kini ramai penulis Barat masih menganggap pejuang kemerdekaan Sarawak, Rentap sebagai lanun.



PEGAWAI Waran Satu (Bersara), Kanang Anak Langkau memberi tabik hormat pada potret Rentap di Tugu Pahlawan Kuching.

--------------------------------------------------------------------------------


WARIS keturunan pejuang kemerdekaan Sarawak yang tersohor, Rentap, menyambut baik usaha menerbitkan filem mengenai pahlawan itu.

Jurucakap waris itu, Luyan anak Bunsang, semasa dihubungi berkata ini akan membolehkan Rentap atau Libau yang digambarkan oleh penulis Barat sebagai lanun dan pemburu kepala semasa zaman pemerintahan Inggeris (1842-1946), lebih dikenali dan difahami oleh generasi muda, khususnya masyarakat Iban.

Luyan, bagaimanapun, mencadangkan penerbit filem berkenaan berbincang dengan Majlis Adat Istiadat negeri dan pemimpin Iban dan waris keturunan Rentap bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pahlawan itu dan masyarakat Iban.

"Ini amat penting kerana daripada pembacaan saya, filem ini untuk tontonan dunia.

"Adat resam dan istiadat Iban perlu digambarkan dengan sebenarnya untuk mengelakkan kontroversi, kritikan dan bantahan," katanya.

Luyan, yang juga Pegawai Penerangan di sini dan generasi kelima pahlawan itu berkata mereka masih kabur mengenai tema filem itu dan siapa yang akan membawa watak utamanya.

Sebuah syarikat, Audio Masters Sdn. Bhd., merancang untuk menerbitkan filem itu. Pengarah Urusan Abdul Rahman Daud, Pengarah Eksekutif, Roslee Sako, Pengarah Aksi Lasak, Norazami Hassan dan Pengawal Kewangan, Melawati Yahya sedang berada di negeri itu untuk membuat persiapan akhir.

Menurut Roslee, bajet RM8 juta diperuntukkan dan penggambaran dijangka bermula beberapa bulan lagi.

Katanya krew syarikat itu telah melawat Rh. Unjar (rumah panjang Luyan), Rh. Jawa dan Rh. Sedik, dekat memorial Rentap di Bukit Sibau di Ulu Sungai Wak, Pakan, di Divisyen Sarikei.

Rentap berasal dari Skrang dan ketika remaja, beliau menyertai ekspedisi laut bersama-sama pemimpin Iban seperti Orang Kaya Pemancha Dana Bayang dari Saribas.

Beliau kemudian mengetuai banyak ekspedisi sehingga dikenali sebagai pahlawan Skrang.

Semasa James Brooke menjadi Raja Sarawak pada 25 September 1841, beliau mengisytiharkan kaum Saribas dan Iban Skrang yang berjuang di laut adalah lanun.

Rentap pertama kali bertembung dan bertempur dengan kerajaan Brooke di Kerangan Peris di Skrang pada Ogos 1844.

Pada awal 1853, beliau dan pengikutnya menyerang Kubu Lingga milik kerajaan Brooke di Lintang Batang di mana menantu lelakinya membunuh Allan Lee, komander di kubu itu.

Tahun berikutnya, Rentap berundur ke Bukit Sadok (dalam Divisyen Sri Aman) di mana beliau membina kubu selepas ditewaskan di kubunya di Sungai Lang, Ulu Skrang.

Di sana, beliau menjadi terkenal dan menumpaskan banyak cubaan kerajaan Brooke untuk mengambil alih Skrang dan Saribas.

Keadaan itu mendorong banyak cubaan oleh Brooke untuk menewaskannya.

Pada September 1861, dalam cubaan ketiga mereka dengan meriam yang lebih besar, pasukan tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke akhirnya berjaya memusnahkan kubu Rentap namun pahlawan itu dan pengikutnya berjaya menyelamatkan diri.

Walaupun tewas, Rentap tidak pernah secara rasminya menyerah kalah dan berundur ke Bukit Lanjak, kemudian ke Ulu Entabai dan ke Sungai Wak di Julau di mana beliau meninggal dunia akibat sakit tua pada 1870.



RENTAP diisytiharkan pejuang kemerdekaan Sarawak pada tahun 1993.

--------------------------------------------------------------------------------


Pahlawan itu disemadikan mengikut adat istiadat Iban yang dikenali sebagai 'lumbong' (mayat tidak dikebumikan tetapi disimpan dalam keranda dan diletakkan dalam pondok khas) di Bukit Sibau oleh pengikut dan keluarganya.

Pada 28 Okt, 1989, pondok khas dibina bagi upacara 'lumbong' yang baru bagi Rentap oleh kerajaan negeri sebagai pengiktirafan terhadap perjuangannya menuntut kemerdekaan daripada Brooke dan iltizamnya untuk mempertahankan adat resam masyarakat Iban.

Pada 27 Julai 1993, Rentap diisytiharkan sebagai pejuang kemerdekaan negeri oleh kerajaan negeri dan patungnya yang diukir pada plak ditempatkan di Tugu Wira di Museum Garden di Kuching. - Bernama

No comments:

Post a Comment